Tuesday, October 13, 2009

::'UIAM wajar diiktiraf IPT Islam terkemuka'::

GOMBAK: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, bertitah sudah tiba masanya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dilihat sebagai antara institusi pengajian tinggi paling terkemuka di dunia khususnya di kalangan negara Islam berdasarkan kejayaan cemerlang penuntut tempatan dan juga antarabangsanya.

Baginda yang juga Ketua Perlembagaan UIAM bertitah, pengiktirafan itu penting bagi menghargai usaha keras warga kerja dan pelajar terhadap pembangunan negara dan sebagai bakal pemimpin ummah ke arah kemajuan dan kemakmuran.

"Ia juga mencerminkan keinginan masyarakat Malaysia dan Islam antarabangsa untuk menumpukan perhatian serius, bukan saja kepada agama Islam tetapi juga segala bidang ilmu dan tamadun yang dibangunkan.


"Bersesuaian usia UIAM yang sudah wujud sejak 26 tahun lalu, bukan saja kurikulumnya unik dan bersifat integrasi diperkenalkan, malah pihak universiti secara konsisten cuba memberi penekanan kepada peranan Islam dalam pendidikan yang mana agama harus dipersembahkan dalam bentuk relevan dan intelektual, bersesuaian dengan keperluan masyarakat kontemporari.

"Ketika UIAM merentas jalan ke arah dunia tanpa sempadan, kampus UIAM sering dijadikan rujukan dengan kebanjiran pelajar lebih 100 negara di serata dunia. Jumlah pelajar antarabangsa kini mencecah angka 4,300 orang, iaitu mewakili 22 peratus daripada keseluruhan populasi universiti," titah baginda ketika menyempurnakan majlis Konvokesyen Ke-25 UIAM di Gombak, di sini, semalam.

Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan ijazah dan sarjana kepada lebih 500 graduan.

Titah baginda, beliau berasakan sudah sampai masa masyarakat menghargai usaha warga kerja dan pelajar serta mengiktiraf sumbangan mereka ke arah pembangunan negara dan sebagai bakal pemimpin ummah.

"Beta berbangga peranan UIAM mempromosi dan menyokong agenda transformasi membabitkan Ummah Muslim, di mana akademik dan program pembangunan di UIAM menyediakan platform bagi menyemai pelajar ke arah menjadi pekerja yang sedia menabur bakti, membalas jasa dan berjiwa pemimpin demi agama, bangsa dan negara," titah baginda.

...............................................................................................................................................................

> Bangga dengan pencapaian university sendiri...
>Impian untuk lihat university setanding dengan university Al-Azhar, Mesir...

Ihsan dari: Berita Harian dan IIUM Blogger.com